Sunday 19 June 2011

Belasungkawa Allahyarham Zami Ismail aka Pak Uda dalam kenangan...

Allahyarham Zami Ismail @ Pak Uda
(1944 - 2011)

Allahyarham Zami Ismail, 67, yang juga dikenali sebagai Pak Uda telah kembali ke rahmatullah pada 19 Jun 2011 pada jam 10.30 pagi di IJN dan dikebumikan di kampung halamannya di Tapah, Perak. Pak Uda meninggalkan seorang balu, Hanizan Ibrahim dan sembilan orang anak. Pak Uda merupakan seorang pelakon dan penerbit yang mula berkecimpung dalam arena perfileman pada 1985 dalam filem Roda-Roda. Selain itu, Pak Uda merupakan watak utama dan favourite di dalam sitkom-sitkom popular negara suatu masa dahulu iaitu Pi Mai Pi Mai Tang Tu, Salam Pantai Timur dan lain-lain.



Matsom(1990) arahan Hatta Azad Khan. Pelakon Utama Imuda, Tiara Jacquelina, Zami Ismail,
Adibah Amin
Selain itu, kewibawaan Pak Uda sebagai pelawak telah terbukti dengan pencapaian beliau memenangi Anugerah Pelakon Komedi Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-9 walaupun mendukung watak pelakon pembantu dalam filem Matsom arahan Hatta Azad Khan pada tahun 1990 dan tercalon sebagai Pelakon Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia ke-11 bagi filem yang merangkul Filem Terbaik bagi temasya itu iaitu filem Wanita Bertudung Hitam arahan Dr. Mahadi J. Murad.


Allahyarham Zami Ismail (dua dari kiri) dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah
Pak Uda telah membintangi sebanyak 17 buah filem sepanjang karier beliau antaranya Matsom, Gadis Bertudung Hitam, Tuah, Cinta Rosevilla, Sara, No Problem, Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Shh... Dia Datang, dan filem terakhirnya Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit arahan Mamat Khalid. 




Sedutan Sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Masyarakat mula mengenali nama Zami Ismail sebagai Pak Uda di dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu terbitan Hafsham yang turut dibintangi Imuda(Budin), Ahmad Busu(Mat Deris), Allahyarham Mohammad Abdullah(Pak Busu), Wan Maimunah(Mak Usu), Angeline Tan(Lucy), Sathya(Ravi), Sabri Yunus(Wan Ismail Golok), Sulaiman Yassin(Mat Over), Khatijah Tan(Mak Ngah), Marlia Musa(Ana), Accapan(Siva) dan ramai lagi. Gelagatnya yang berjalan terkedek-kedek, dengan berbutang baju senget bersongkok haji dan memainkan peranan sebagai naib ketua masyarakat di flat Sri Wangi. Watak beliau merupakan watak yang ditunggu-tunggu oleh penonton oleh kerana wataknya yang bersahaja terutama ketika bermanja dengan isterinya Mak Ngah dengan panggilan gelaran masing-masing sebagai Ayang dan Anje. Semestinya Semua Peminat akan merindukan saat manis adegan-adegan Pak Uda dan rakan-rakan dalam sitkom fenomena Pi Mai Pi Mai Tang Tu.


Dengan pemergian Allahyarham Zami Ismail maka hilanglah seri industri pelawak negara. Beliau merupakan pejuang seni yang berjuang hingga ke akhir hayat. Sesungguhnya kami akan merindukan gelagat Pak Uda yang menceriakan hari-hari kami. 


Terima Kasih Zami Ismail@Pak Uda. 


Al-Fatihah.

No comments:

Post a Comment